Tips Mendidik Anak Cara Rasulullah

Tips Mendidik Anak Cara Rasulullah

 

 

tips didik anak Anak-anak bagaikan kain putih yang suci, bersih tanpa secalit warna atau kekotoran. Menjadi tugas dan amanah  berat kepada ibu dan bapa mendidik anak menjadi anak yang soleh dan cemerlang dunia akhirat.

Mendidik dan membesarkan anak bukan tugas mudah dan boleh dipandang ringan. mereka adalah generasi yang akan meneruskan tugas dan amanah yang dipikul oleh kita, sebagai khalifah untuk memakmurkan alam ini.

Maka, sebagai ibu dan bapa, kita bertanggungjawab untuk mencorakkan anak-anak kita.. sumber rujukan kita sudah tentulah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Saw. Bagaimana baginda Rasul meneladani anak-anak perlu menjadi panduan kita, tidak kira siapa kita, sama ada ibu bapa, para murabbi, muallim mahupun siapa sahaja kita,.

Terdapat 4 tahap mendidik yang di amalkan oleh Baginda Rasul Saw iaitu :

tips didik anak

1. Tahap pertama : umur 0-6 tahun  

Pada tahap ini, anak-anak perlu di asuh dan dimanjakan, dikasihi serta disayangi tanpa sebarang syarat atau menggunakan kekerasan atau menggunakan rotan sebagai alat untuk mendidik. Tetapi perlu sentiasa ingatkan mereka dan beritahu kesalahan yang sering mereka lakukan itu tidak elok.

Berikan mereka kasih sayang yang tidak berbelah bagi tanpa mengira mereka anak sulung atau anak bongsu, berlaku adil dalam setiap tindakan kita dalam mendidik anak-anak diperingkat umur begini.

2. Tahap Ke-2 : umur  7-14 tahun

Pada tahap ini, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa menanamkan sifat disiplin dan bertanggungjawab kepada mereka. Bandingannya, kewajipan solat untuk anak-anak bermula pada umur 7 tahun sebagaimana Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud,Sabda Rasulullah Saw ”

 “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).”

Pukul  yang dimaksudkan di dalam hadith  bukanlah bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya memukul  dan menyeksa anak kita di mana sahaja anggota badannya, tetapi memukul  mereka pada tapak kaki dengan niat untuk mendidik mereka supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap diri dan keluarga.

 

Tahap ke-3 : umur 15-21 tahun

Pada tahap ini, ibu bapa perlu menggunakan pendekatan“berkawan” dengan anak-anak. kerana pada peringkat ini, anak-anak lebih cenderung untuk memberontak dan menjadikan kawan-kawan mereka sebagai tempat meluahkan perasaan dan berkongsi apa sahaja yang mereka sukai. So peranan ibu bapa mendekati mereka, bersama mereka meneroka alam remaja yang sedang mereka lalui. Berbincang dan berhemah dalam menegur mereka. Pastikan jika mahu menegur kesalahan anak-anak ini, elakkan dari menegur mereka dikhalayak ramai atau di depan adik beradiknya yang lain. Cara ini penting supaya tidak menjatuhkan air muka dan menjadikan mereka jauh daripada kita.

 

Tahap ke-4 : umur 21 tahun ke atas

Pada tahap ini, anak-anak sudah boleh berfikir dan bertindak sebagai orang dewasa. Ibu bapa perlu memberikan kepercayaan dan kebebasan kepada mereka. Kita boleh menjadi penasihat kepada mereka dan sebagai pemudah cara kepada mereka dalam membantu mereka membuat keputusan. Kita perlu percaya bahawa mereka sudah mampu membuat keputusan yang bijaksana dan mendoakan agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul, istiqamah dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka dalam meneruskan pengembaraan mereka di luar sana.

selagi kita bergelar ibu bapa, janganlah kita merungut letih atau penat di depan anak-anak.. ikhlas lah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Anak-anak adalah harta kita yang tidak ternilai. dan menjadi salah satu perkara yang akan membantu kita di Sana nanti, adalah doa anak-anak yang soleh.

Maka sebagai ibu dan ayah, marilah kita berusaha untuk memupuk sifat dan nilai anak soleh dalam diri anak-anak kita. Justeru apa yang perlu kita lakukan, menjadikan diri kita sebagai insan yang soleh dan bertanggungjawab dalam melaksanakan perintah agama dan memupuk nilai-nilai Islami di dalam keluarga kita.

 

psss…sebagai ibu kepada 2 orang anak kecil Kakak Insyirah – 7tahun dan Adik Naufal 4 tahun, cabaran mendidik mereka dengan 2 tahap yang berbeza memang menyukarkan mama. sebab kakak pasti akan bertanya dan komen jika sesuatu perkara itu berbeza cara pendekatan yang digunakan untuk dia dan adik . Contoh paling mudah, bab solat dan baca AL-Quran. So mama dan baba kena pandai terangkan kepada Kakak supaya dia faham dan tidak membuat perbandingan dengan adik.

semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua.

Sharing Is Caring

mamahusna

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back To Top